Autumn in Japan : Part 3 Hari Pertama - Ketibaan

Setelah kira-kira 6 jam dalam penerbangan, pesawat AirAsia X mula menghampiri tanah Sakura.. Matahari dari tingkap pesawat sebelah kiri memancar terik.. Terdahulu kapten pesawat telah membuat pengumuman bahawasanya suhu di Osaka pada ketika itu ialah 9 darjah celsius, tetapi kerana angin sejuk yang bertiup agak kencang, suhu yang bakal dirasai adalah sekitar 4 darjah...

Di tingkap pesawat, mula kelihatan gunung ganang dan bangunan-bangunan yang terletak di pinggir pantai... rumah dan bangunan adalah seluas mata memandang.. aku mula rasa seperti tak percaya.. bumi Jepun telah kulihat dengan jelas di depan mata.. selama ini dengar nama sahaja..


Suka aku memaklumkan, bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai ini terletak di atas sebuah pulau buatan manusia di Teluk Osaka (Osaka Bay).. Ketika pesawat menghampiri landasan untuk pendaratan.. aku berasa seolah-olah pesawat akan mendarat di tengah laut ! Sebab yang kelihatan hanyalah laut....


Alhamdulillah sekitar jam 8 pagi waktu Jepun, pesawat telah selamat mendarat di Negara Matahari Terbit. Tak sangka setelah 25 tahun aku hidup, dapat juga datang ke sini.... Terus aku terbayang Ultraman, Son Goku, Nobita, Shin Chan....hahahah


Untuk makluman, waktu Jepun adalah 1 jam lebih awal daripada waktu Malaysia.


Sebaik melangkah keluar dari pesawat, kesejukan mulai terasa. Walau bagaimanapun, di Kansai kita tidak perlu bersusah-payah berjalan kaki memerah keringat atau menuruni tangga pesawat seperti di LCCT, aerobridge adalah disediakan. Selepas berada dalam balai ketibaan, kita harus menaiki Wing Shuttle (macam monorail) untuk ke bangunan utama terminal.

Dalam Wing Shuttle


Setiba di bangunan utama terminal, para penumpang dikehendaki berjalan di atas karpet yang telah diletakkan dengan bahan pembunuh kuman. Tujuannya ialah bagi memastikan tapak kasut kita tidak membawa sebarang virus merbahaya ke Jepun.


Selepas itu terus ke bahagian pemeriksaan imigresen. Menurut pemerhatian ku, imigresen di Jepun adalah mesra dan cekap. Sebaik sahaja tiba di bahagian imigresen, ada pegawai yang akan memberitahu kepada para pelawat supaya berbaris di tempat yang betul : Kaunter untuk warganegara asing dan satu lagi untuk orang Jepun.


Imigresen akan mengambil foto anda beserta cap jari. Lepas tu ?? Selesai urusan imigresen.. tak ada sebarang soalan pun yang ditanya..lega aku...


Selepas imigresen, Kastam pula...

Ada 2 bahagian : 1 untuk mereka yang membawa barangan yang perlu diistiharkan manakala kaunter yang satu lagi bagi pelawat yang tidak membawa barangan yang perlu diistiharkan macam aku. Tapi memandangkan aku ada membawa ayam kari dalam tin, risau juga aku jadinya. Macam mana kalau kastam dapat tau aku ada membawa masuk makanan yang bersumberkan ayam?

Alhamdulillah.. tak ada masalah pun.. pegawai kastam buka juga beg aku tapi cuma cek di bahagian atas sahaja. Kat bahagian atas backpack aku letak roti Gardenia.. dia keluarkan roti tu dari beg aku..

You will eat this? Tanyanya dalam bahasa Inggeris yang pelat Jepun.
Yes. Kataku....
Lepas tu dia tengok aku....
Nihongo o hanashimasu ka? (Awak boleh bercakap bahasa Jepun ke?) Tanyanya... 
Sukoshi dake desu (Boleh sikit-sikit) Jawabku...
Arigatou gozaimashita (Terima kasih) Katanya sambil memasukkan kembali roti ke dalam beg ku..
Selesai segala urusan imigresen dan kastam......... Sekarang aku dah bebas untuk mengembara di bumi Samurai ni........

Aku terus ke balai ketibaan.. duduk sekejap... makan biskut... dan melayari internet menggunakan telefon ku yang tak berapa nak pintar ni... Wifi di Kansai Airport adalah percuma...

Terminal ketibaan tidaklah besar mana, memang jauhlah kalau dibandingkan dengan KLIA.. 

Tak jauh dari lobi ketibaan, adalah pintu masuk utama ke terminal.. kat luar tu dah kawasan outdoor.. Aku pun tanpa berlengah lagi menuju ke pintu keluar.. Aku nak rasai sendiri macam mana sejuknya 4 darjah celsius ni... 

Keluar sahaja dari pintu.. aku terus terkena kejutan cuaca !! SEJUKK !! Dengan angin yang kuat sebab kawasan ni terletak di tengah laut.. Terus aku masuk semula ke dalam terminal.. Waktu tu aku cuma memakai sehelai t-shirt dan jaket sahaja...

Lepas tu aku pun menuju ke tandas yang terletak tidak jauh dari pintu utama... 

Kali pertama aku terpandang tandas di Jepun.. memang shohihlah segala dakwaan yang ku dengar sebelum ini.. bersih dan canggih... nak berkaki ayam di tandas pun tak kisah.. sebab lantai bersih dan kering.. air ada, cuma bukan dalam bentuk paip hos macam di Malaysia.. Semua washlet automatik, tekan sahaja butang kawalan....

Aku pun menukar baju dan menambah 3 lapis baju t-shirt, sweater dan jaket.. harap-haraplah 5 lapis ni dapat menangkis segala kesejukan yang mengganas di luar sana nanti..
Balai Ketibaan Kansai International Airport

AMARAN ### Hampir semua foto bagi post-post trip ke Jepun ini adalah diambil menggunakan kamera telefon bimbit ku yang tak berapa nak canggih. Oleh itu, sila bertolak ansur seandainya kualiti gambar tidak mencapai tahap piawaian anda.. 

Baiklah...setelah makan biskut dan ke tandas.. aku ada 1 lagi tugasan penting yang harus disempurnakan dengan kadar segera... iaitu membeli SURUTTO-KANSAI THRU PASS 3 DAYS...


OK, apa bendanya ni?? 

SURUTTO-KANSAI THRU PASS 3 DAYS ni ialah pas tanpa had, yang membolehkan kita menaiki Nankai Train (Contohnya dari Kansai Airport ni ke stesen Namba di Osaka), Subway di Osaka, Subway di Kyoto, Subway di Kobe, Kintetsu Train (Untuk ke Nara atau Kyoto), Hankyu dan Hanshin Railway (Untuk ke Kobe) dan segala macam jenis bas hampir di keseluruhan bahagian Kansai Region yang meliputi Osaka, Kyoto, Kobe dan Nara ni.... dan ini semua adalah TANPA HAD selama 3 hari.. Naiklah 1000 kali sehari pun tak ada bayaran tambahan...





Selain itu, pas ini tak semestinya digunakan 3 hari berturut-turut.. contohnya aku gunakan pas ini pada 28 November, 29 November dan 7 Desember...keseluruhan 3 hari... memang berbaloi dan mudah.. tak payah nak tengok berapa harga tiket.. masukkan sahaja tiket ni dalam gate automatik....


Berapa harga pass ni?? 5000 Yen (Sekitar RM150 waktu aku tu)...


Pass yang tersebut di atas bolehlah di beli di beberapa tempat.. Aku beli di di balai ketibaan tu juga di KAA Travel Desk, International Arrival Lobby (Sebelah dengan Information Counter).. 



Information Counter dan KAA Travel Desk di sebelahnya.


Lepas dah beli pas ni, kita dah boleh start guna... Aku pun terus menuju ke train station Nankai Kansai Airport Station untuk menuju ke Osaka.. kawan aku, Yasuaki (Aki) dah berjanji untuk menunggu aku di Namba Station, Osaka.


Untuk ke Kansai Airport Station ni sangatlah senang... stesen ni terletak berhadapan dengan balai ketibaan... dari balai ketibaan.. naik escalator ke tingkat 1.. lepas tu belok kanan dan keluar dari bangunan terminal airport.. kita akan melalui semacam jejambat yang menghubungkan bangunan terminal dan Kansai Airport Station... Jalan dalam 20 langkah.. sampai !!


Ok, harus diingat bahawasanya Kansai Airport Station ni ada 2 bahagian (ada 2 line), JR Line dan Nankai Line. Kalau dah ada Kansai 3 Days Pass macam aku ni, maka naiklah Nankai Line kerana ianya adalah percuma...


Masukkan sahaja tiket dalam mesin (Lebih kurang macam komuter kat KL) dan jangan lupa ambil balik tiket tu kat hujung mesin... Kalau di Komuter KL, tiket tu keluar balik di tengah mesin kan? Kalau di Jepun tiket tu keluar di hujung. Tak payah nak terkebil-kebil tunggu tiket tu keluar di tengah (macam aku waktu mula-mula sampai...hahaha), terus jalan ke hujung dan ambil semula tiket.


Turun ke platform dah ada tren menuju ke Namba sedia menunggu..

Train tu akan tulis Namba dan Local.. Local maknanya tren tersebut akan berhenti di setiap stesen disepanjang perjalanan ke Namba.


Dalam Nankai Train yang belum bergerak di Kansai Airport Station

Aku naik Local Train dari airport.. tapi masalahnya waktu tu aku tak tahu pun pasal local tren ni.. yang aku tau semua tren menuju ke Namba.. Selepas bertolak dari Kansai Airport Station, tren ini kan singgah di stesen Rinku Town dan seterusnya di stesen Izumisano... 


Tren ni berhenti lama di Izumisano.. Aku dan para penumpang dalam tren dah mula gelisah dah.. kebanyakan penumpang ketika itu adalah para pelancong asing.. ada mat salleh, ada group orang Indonesia juga... Tunggu punya tunggu, tren tetap tak bergerak.. pintu tren ternganga luas.. sejuk gila waktu tu.. dengan angin lagi...


Tak lama lepas tu ada staff tren datang dan menghampiri seorang minah saleh ni.. staff tu boleh cakap English sikit-sikit walaupun sangat pelat dan susah untuk difahami.. Dia jelaskan kepada wanita itu bahawa tren ini adalah tren local yang lambat dan akan mengambil masa yang lama untuk sampai ke Namba.. tapi wanita tu kata.. it's ok.. I will just use this train..
Staff tu pun bergerak pula ke arah ku dan menjelaskan perkara yang sama.. katanya sebentar lagi ada express tren yang akan tiba di platform sebelah.. dia nasihatkan aku tukar ke tren express itu, agar aku cepat sampai ke Namba.. Aku pun tanya, No extra charge for express train? 
Jawabnya..no.....

Aku pun apa lagi, ambil beg terus keluar dari local tren tu dan pergi ke platform sebelah untuk tunggu express train yang bakal tiba sedikit masa sahaja lagi.. Aku orang pertama yang keluar dari local tren tu...

Yang lawaknya.. lepas pelancong-pelancong asing tu nampak aku keluar.. mereka semua pun keluarlah juga dari tren tu secara berjemaah.. terus seorang-seorang tanya soalan dengan aku.. 
We must wait here for Namba?
No extra charge for express train??
Aku pun jawablah setiap persoalan mereka dengan penuh yakin...hahahaha..padahal aku pun pertama kali menjejakkan kaki di Jepun ni.. apalah yang aku tau sangat....

Tak lama selepas itu, express tren pun sampai.. berbeza dengan local train tadi, express train ni memang sangat-sangat sesak.. penuh dengan penumpang.. kalau tadi boleh bersila-sila di local train, sekarang ni kena berdiri... tapi tak apa lah.. aku lagi suka berdiri dekat tingkap... boleh tengok pemandangan di luar...


Lepas kira-kira setengah jam dalam tren, maka tibalah di stesen Namba.. Stesen terakhir untuk Nankai Airport Line.... Kepada sesiapa yang ingin meneruskan perjalanan ke tempat-tempat lain silalah turun dan tukar tren atau subway di sini..


Aku ni apa lagi, terus cepat-cepat keluar tren sebab takut si Aki ni lama menunggu.. Sesudah keluar dari ticket gate, aku pun terpinga-pinga seorang... besar gila stesen Namba ni...kiri kanan depan belakang semua ada lorong yang menuju entah ke mana... Mana si Aki ni??? kata ku..




Selama ni kami berhubung melalui FB sahaja.. masalahnya.. aku tak jumpa pula line wifi free di sini.. tak boleh nak buka FB... Aku pun satu, kenapalah tak minta nombor telefonnya.. sekurang-kurangnya boleh telefon guna public phone...

Aku pun pusing-pusing cari dia sambil cari kalau-kalau ada wifi percuma... Tak ada !!!

Terus aku jalan dalam 50 meter, naik ke tingkat atas... macam pelik pula.. aku pun patah balik ke bawah... matilah... mana nak cari si Aki ni.. manusia dah lah beribu-ribu... 

Dekat setengah jam aku pusing-pusing tanpa arah tujuan... macam dah putus asa dah.. dah lah di Osaka ni aku tak studi pun pasal line subway ni semua sebab aku tau dia akan jadi guide aku... dan aku akan menumpang di rumahnya selama 3 malam...


Tapi mana aku nak cari dia dicelah-celah ribuan warga Osaka yang berjalan laju macam semut ni?? Kalau ada Doraemon tak apa juga.. boleh minta tolong keluarkan alat apa benda kah......


Tau apa jadi lepas tu???

Tiba-tiba aku nampak dia... nak menuju ke tingkat bawah.. tapi dia tak nampak aku.. terus aku menjerit sekuat hati.. semua orang tengok..hahaha..

Alhamdulillah.. dapat juga aku berjumpa kawan aku ni.. kali terakhir aku jumpa dia dalam bulan 4 sewaktu dia melancong di KL...
Memang aku lega la sangat-sangat dapat jumpa dia.. kalau tidak, tak tau la macam mana...

OK ! Misi menjejak dan mencari si Aki ni dah selesai, apa lagi...jom kita mulakan pengembaraan....



Comments

Popular posts from this blog

Tips Melancong Ke Jepun

Sejarah dan Salji : Osaka-Kyoto-Tateyama 6 Hari 5 Malam

PAKEJ PELANCONGAN BAJET KE OSAKA-KANSAI, JEPUN.