Tips Melancong Ke Jepun



Visa

Mulai 1 Julai 2013, semua rakyat Malaysia yang memegang paspot biometric adalah dikecualikan daripada memohon visa. Dalam erti kata yang mudah, tak payah nak mohon visa kalau nak ke Jepun.

Penerbangan

Pada masa ini, syarikat tambang murah AirAsia X telah melancarkan 4 laluan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Kansai International Airport (Osaka), Chubu Centrair International Airport (Nagoya) dan Tokyo International Airport Haneda dan Narita International Airport.
Harga memang antara yang terendah di dunia ! Saya pernah dapat perjalanan sehala Cuma RM199 termasuk segala cukai dan caj perkhidmatan.. Anda rajin-rajinlah membuka laman web AirAsia yer…
Secara perbandingan, harga tiket penerbangan paling murah ialah ke Nagoya diikuti oleh Osaka dan yang paling mahal ialah Haneda (Tokyo).
Seboleh-bolehnya, tempahlah tempat duduk di tepi tingkap.. sebab pemandangan kalau dah menghampiri tanah Sakura ni memang cantik.. boleh kejang leher sebab tertoleh-toleh di tingkap..heheh..
Penerbangan terus ke Osaka akan memakan masa 6 jam 25 minit, Nagoya 6 jam 35 minit dan Tokyo 7 jam.
Bagi yang banyak duit pula, bolehlah naik MAS, ANA atau syarikat penerbangan lain..

Penginapan

Senang cerita, penginapan di Jepun memang mahal berbanding Negara lain di Asia.. Kalau di Malaysia harga RM150 dah dapat duduk hotel 3 bintang dan kadang-kadang 4 bintang, tetapi di sana hotel bajet pun susah nak lepas harga ni !

Kebanyakkan pelancong bajet akan menginap di hostel atau guest house yang rata-rata lebih murah (Harga bawah RM150 semalam)..
Untuk guest house/hostel ni, ada yang menawarkan tempat tidur ‘western’ dengan katil & tilam ala-ala di Malaysia. Sesetengahnya pula menyediakan penginapan ‘japanese style’ yang dilengkapi tilam futon (yang boleh dilipat) dan tikar tatami..ala-ala tikar mengkuang tapi tebal, selesa dan tak kasar sangat permukaannya..



Bilik pula biasanya terbahagi kepada 2, bilik private (Double, twin, triple) dan bilik dormitory (asrama) yang lazimnya dikongsi bersama dari 4 hingga 8 pelancong lain dalam satu bilik. Harga? Jelaslah yang mana lebih murah kan?? Kalau nak selesa kenalah bayar lebih.. Kalau cuma setakat tempat tidur, baik wang yang lebih-lebih tu buat belanja shopping atau beli souvenir kan..ahaha.. ikut lah selera dan tahap ketebalan wang ringgit masing-masing…

Barang diingat, selalunya tandas dan bilik mandi di hostel ni adalah berkongsi.. tak ada dalam bilik masing-masing macam di hotel.. Sebenarnya tak ada masalah pun, sebab kebanyakkan (kalau tak semua) hostel di Jepun ni memang bersih berkilat.. Tak percaya cuba buat eksperimen ni.. ambil sekeping tisu putih (pernah nampak tisu hitam ke??).. lepas tu cuba lap kat dinding-dinding , permukaan meja dan lantai.. Nescaya hasilnya adalah positif (tak ada kesan kotoran degil).. Cuma kalau boleh jangan lah buat depan tuan punya hostel.. nanti kecik hati diorang.. Ataupun  nanti tak pasal-pasal orang Malaysia di COP berperangai pelik.. Buruk imej negara kan..

Ok..selain itu, penting juga untuk diambil perhatian bahawa sesetengah hostel/ rumah tumpangan hanya menyediakan bilik mandi BERKONGSI & TERBUKA.. Maksudnya, semua orang (jantina yang sama) akan mandi dalam bilik mandi yang bersaiz besar.. Tetapi tiada dinding.. Dan mereka ni akan mandi dalam keadaan tanpa seurat benang !! Haha.. Aku nak terang pun tak berapa nak pandai… Ok biasanya kalau di asrama bilik mandi adalah 1 sahaja.. tetapi dalam tu adalah bilik-bilik kecil beserta pintu kan? Tapi ini tak ada ! Cuma ada pintu utama bilik mandi sahaja… dalam tu adalah kolam air panas dan paip-paip air beserta kerusi kecil tempat duduk sambil bersiram bersabun bershampoo segala !

Maka, bagi kita orang Melayu (orang Malaysia/ Orang Islam) yang tak biasa, memang akan rasa pelik dan janggal dan rasa macam tak nak mandi..hehe.. Orang Jepun (dan orang Korea) pula jenis tak kisah pun.. sebab dah jadi adat mereka sejak zaman-berzaman.. Maka bagi mengelakkan kesulitan di kemudian hari, silalah pastikan hal ini terlebih dahulu sebelum menempah penginapan.

Selain hotel dan rumah tumpangan biasa, ada juga penginapan yang dinamakan Capsule Hotel ! Hotel ni memang cukup-cukup ruang untuk tidur sahaja.. nak bangun pun tak boleh.. Nak depa tangan pun tak boleh.. duduk kat dalam tu boleh lah.. Dia suasananya macam dalam kapal angkasa..hehehe..agak sempit tetapi OK lah kalau Cuma nak tidur.. Biasanya  TV pun ada dalam tu.. Siapa nak merasa sesuatu yang berbeza di Jepun, silakanlah.. Harga pun agak murah kerana capsule hotel ni mensasarkan para pekerja yang tak sempat balik ke rumah pada tengah malam (sebab trend dah tak ada)…

Makanan

Makanan halal ada, tetapi agak sukar untuk didapati… perlu kajian yang mendalam beserta peta untuk menjejak restoran-restoran makanan halal ini..

Di bandar-bandar utama seperti Tokyo, Osaka & Kobe yang lebih kosmopolitan, agak kurang tahap kesukaran untuk mencari restoran halal berbanding bandar-bandar yang lebih kecil seperti Nagano, Hiroshima, Sendai, Matsumoto dll.

Perlu di ingat, kebanyakkan restoran makanan halal di Jepun menyajikan makanan Turki (kebab).. Selain itu makanan India/ Pakistan, Malaysia dan Indonesia juga boleh didapati..

Bagi mereka yang berharap untuk makan makanan Jepun yang halal.. maka bersedialah untuk berasa kecewa.. Memang susah nak jumpa makanan Jepun halal… Setakat yang aku tau, ada beberapa restoran Jepun di Kansai International Airport yang dapat pengesahan halal dari Malaysia… Di Tokyo ada juga, tetapi makanan campuran Japanese dan Korean Cuisine.. Selain itu, beberapa kedai udon dan tempura juga halal untuk dimakan.. kecuali ayam.. tapi pastikan dulu mereka menggunakan minyak sayuran sepenuhnya dan tiada menu daging babi di restoran tersebut.. hal ini mungkin agak rumit terutama bagi yang tidak boleh berbahasa Jepun. 
Sanuki Udon di Kansai Airport

Harga?? Biasanya harga makanan halal adalah lebih mahal berbanding makanan tempatan yang tidak halal.. Sebab kebanyakkan bahan halal adalah diimport dari Negara luar.. Harga sekitar 1000 Yen (RM32) hingga 2000 Yen (RM64) untuk hidangan nasi adalah normal...
Selain itu, menurut Persatuan Islam Nagoya, umat Islam juga boleh memakan Fish Burger dan kentang di KFC kerana mereka menggunakan minyak sayuran dan tidak dicampur babi.. Walau bagaimanapun, ayam adalah HARAM kerana tidak disembelih.. So tak payah lah nak gatal-gatal order ayam spicy ayam original segala yer..heheh.. tunggu balik Malaysia makan lah puas-puas… (Sebenarnya aku pernah Nampak orang Islam/Melayu makan ayam KFC dengan penuh berselera..2 kali.. sekali di Shinjuku Tokyo dan sekali di Osaka.. mungkin mereka tak tahu)...(UPDATE TERBARU FEBRUARY 2015 : KFC adalah HARAM bagi umat Islam kerana mereka telah memperkenalkan menu baru iaitu burger daging babi yang dimasak bersama ayam dan kentang)
McD (Mekdonal) pula macam mana? Dukacita dimaklumkan, McD adalah haram termasuk kentang kerana mereka menggunakan lard (lemak babi). Kalau nak minum kopi atau teh, silakan. Aku ada juga lepak McD di Tokyo & Kyoto terutama kalau terlepas tren terakhir waktu malam atau menunggu highway bas.. tapi tak makan lah.. minum teh atau kopi sahaja… Big Mac? Lupakanlah seketika ok..heee

Pengangkutan

Pengangkutan dalam Bandar di Jepun terutamanya Tokyo dan Osaka adalah sangat cekap, pantas, efisyien dan moden (dan sesak..dan mahal..hehehe)…
Di Tokyo, Osaka dan Nagoya, anda boleh bergerak dari tempat pelancongan A ke tempat pelancongan B dengan pantas seperti angin !

Sistem tren dan subway adalah sangat baik. Waktu menunggu pula biasanya hanya sekitar 1 hingga 3 minit.
Masalahnya ialah, system tren di Jepun (terutamanya Tokyo) adalah sangat rumit, kompleks dan mengelirukan.. Di Tokyo sahaja, ada 13 line subway (kereta api bawah tanah) dan berpuluh line lagi di atas tanah.. Bagi yang tak biasa, memang akan berasa ‘sesat’ dan keliru.. Maka sediakanlah peta di tangan yer.. tetapi peta subway ni pun biasanya agak mengelirukan bagi kebanyakkan orang.. 



Kalau sesat jangan risau  (sebab kenyataannya, orang tempatan Jepun sendiri pun ramai yang sesat).. just tarik nafas.. berdiri di tepi (jangan berdiri kat tengah dunia..orang Jepun nak jalan cepat).. tengok sekali lagi peta subway.. nama stesen destinasi tujuan.. nama line subway dan nama stesen transit sekiranya ada.. Kalau pening juga???? Pergi ke kaunter dekat auto-gate (gate tiket).. Tanya sahaja kat staf.. Atau kalau malas, tanya sahaja kat orang tempatan yang ada di sekitar anda.. Berdasarkan pengalaman aku, Insya Allah 95 % mereka boleh membantu..

Harga pula macam mana?? Agak mahal lah bagi orang Malaysia… Bajet lah sekitar 200 Yen (RM 6.40) hingga 400 Yen (RM 12.80) untuk pengangkutan dalam Bandar…

OK..Itu untuk pengangkutan dalam Bandar.. Bagaimana pula penngangkutan antara Bandar atau jarak jauh?
Ada beberapa pilihan.. antaranya ialah Shinkansen (Bullet train), Highway Bus, Kereta api, atau kapal terbang.

Yang paling selesa dan paling mahal serta paling cepat ialah shinkansen atau kereta api peluru Jepun yang berkelajuan sehingga 320 KM sejam.. Tambang memang mahal.. Aku pernah naik dari Nagoya ke Osaka (50 minit perjalanan) tambang sekitar RM 200.. Kalau dari Osaka ke Tokyo lebih RM400 sehala.. memang mahal tetapi selesa.. kebanyakkan Japanese akan naik shinkansen berbanding kapal terbang.. Tak payah check-in, kastam security clearance segala.. beli tiket dan naik ! Mudah.

Paling murah tetapi paling lambat pula ialah highway bas.. Aku pernah naik bas selama 6 jam dari Osaka ke Toyama harga tiket cuma sekitar RM150.. Kalau naik kereta api sekitar RM250 (sekitar 3 jam perjalanan).. Aku bergerak antara bandar yang jauh menggunakan bas.. sangat selesa.. dan murah.. biasanya untuk menjimatkan kos penginapan, aku akan ambil overnight bas.. contohnya aku pernah bertolak dari Tokyo pada jam 11 malam dan sampai di Bandar Sendai jam 6 pagi keesokan harinya.. 



Keselesaan? Kelas pertama ! Kerusi memang reclining gila-gila.. tak sesak.. kerusi untuk 2 orang lazimnya cuma aku seorang duduk.. ada penutup muka/kepala seperti dalam foto di atas.. biasanya ada power point untuk cas handphone.. sesetengahnya ada personal skrin seorang satu untuk tengok movie, dengar muzik dan main game.. lengkap dengan headset.. selimut disediakan free of charge.. ada meja macam kapal terbang..MEMANG TERBAIK BAS DI JEPUN !

PAKEJ LAWATAN BAJET KE JEPUN

Bagi anda yang teringin melawat Jepun dengan bajet yang paling murah di Malaysia, silalah cek post terdahulu saya di dalam blog ini atau boleh klik link ini yang menyenaraikan Pakej Bajet ke Tokyo,  Osaka-Kyoto atau kawasan pergunungan Tateyama bagi yang ingin bermain salji ! Boleh juga emel messrs_rezzs@yahoo.com atau sms nombor 013-3119194/ 010-7880603.

• Jemput like dan layari page facebook kami www.facebook.com/jomkejepun untuk promosi lawatan ke Jepun yang terkini dan pelbagai maklumat menarik berkenaan Jepun.

Comments

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Sejarah dan Salji : Osaka-Kyoto-Tateyama 6 Hari 5 Malam

PAKEJ PELANCONGAN BAJET KE OSAKA-KANSAI, JEPUN.